Jumaat, 3 Oktober 2014

Gagal Kawal Nafsu Seks Punca Gangguan Seksual Di Tempat Kerja




Pegawai Pemulihan Kesihatan Mental, Persatuan Kesihatan Mental Malaysia, Nurhijjah Zain berkata, kes seumpama ini turut dipengaruhi faktor sekeliling.

“Persekitaran juga memainkan peranan penting. Kadang-kadang mangsa sendiri yang menyebabkan kes gangguan ini berlaku seperti berpakaian yang seksi, tingkah lalu atau percakapan yang berbaur ‘double meaning’.

“Selain itu, kebebasan internet yang menyediakan bahan lucah turut menyumbang kepada gangguan ini,” katanya kepada mStar Online.

Nurhijjah berkata, lebih malang apabila ada majikan atau rakan sekerja yang tidak tahu di mana untuk melepaskan nafsu tanpa berfikir panjang menjadikan rakan sekerja mangsa.“Jika kelakuan ini tidak dibendung, pelaku boleh menjadi lebih obses untuk melakukan perbuatan yang lebih teruk,” jelasnya.

Berdasarkan pengendalian kes gangguan seksual, sikap mudah percaya pada pujian dan janji manis antara faktor utama berlakunya kes rogol dan cabul di tempat kerja yang membabitkan majikan dan rakan sekerja.Perlakuan yang disifatkan gangguan seksual ini boleh berlaku sama ada secara lisan dan bukan lisan, visual atau fizikal.

Selain itu, statistik kes gangguan seksual yang dikeluarkan Bukit Aman merangkumi cabul dan rogol bagi 2012 dan tahun lalu keseluruhannya mencatatkan 75 kes membabitkan majikan, manakala kes melibatkan rakan sekerja pula sekali ganda iaitu 156 kes.

Daripada jumlah itu, kes rogol membabitkan majikan sebanyak 27, manakala 48 kes untuk cabul dicatatkan, manakala kes gangguan seksual melibatkan rakan sekerja pula menunjukkan 42 kes rogol dicatatkan, manakala cabul sebanyak 114 kes.